‘PENGALAMAN HIDUP DIDENGARI: SUARA NYATA, PERUBAHAN DIREALISASI’

Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia (AGENDA) menyeru agar keprihatinan terhadap kesihatan mental diterjemahkan kepada bantuan yang mudah dicapai, menjaga maruah dan berterusan. Mereka yang terkesan perlu tahu tempat mendapatkan sokongan, pihak yang boleh dihubungi dan langkah seterusnya.
AGENDA menzahirkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Irene Sofiya serta rakan, guru dan seluruh warga sekolah yang berduka. Keutamaan ketika ini ialah menyantuni keluarga, menghormati privasi dan menyediakan sokongan sewajarnya. Elakkan spekulasi serta penyebaran maklumat peribadi yang boleh menambah penderitaan.
Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 10 Oktober, AGENDA menegaskan bahawa setiap individu berhak didengar tanpa dihakimi dan diberi ruang melalui kehilangan. Kesedihan tidak mempunyai tempoh yang seragam. Ketabahan seseorang tidak boleh diukur melalui cepat atau lambat mereka berhenti menangis.
AGENDA mengemukakan lima saranan praktikal:
1. Sekolah: sediakan ruang selamat dan penyelaras bantuan.
Tetapkan guru bimbingan dan kaunseling atau pegawai yang sesuai sebagai penyelaras agar murid serta keluarga tahu kepada siapa mereka boleh mengadu. Gunakan ruang sedia ada untuk pertemuan secara peribadi. Aturkan sokongan awal, termasuk Pertolongan Cemas Psikologi (PFA) oleh petugas terlatih mengikut keperluan, tanpa memaksa murid menceritakan semula pengalaman.
2. Agensi berkaitan: permudah rujukan dan susulan.
Pihak pendidikan, perkhidmatan kesihatan setempat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat disaran menyelaras bantuan mengikut bidang masing-masing. Jelaskan cara mendapatkan janji temu dan pihak yang membuat susulan, sambil mengambil kira kekangan kewangan, pengangkutan serta waktu penjaga. Sokongan perlu diteruskan selepas perhatian umum beralih.
3. Keluarga dan komuniti: dengar, bantu dan kongsi tanggungjawab.
Mulakan dengan pertanyaan, “Apa yang boleh saya bantu hari ini?” Bantuan menyediakan makanan, menemani janji temu atau mengurus perjalanan boleh meringankan beban. Nasihat supaya bersabar dan reda hendaklah disampaikan dengan empati. Berikan juga ruang rehat kepada penjaga supaya tanggungjawab tidak tertumpu pada seorang individu.
4. Profesional dan agamawan: selaraskan sokongan dengan hormat.
Perkukuh kerjasama melalui pendidikan asas kesihatan mental dan panduan rujukan. Bagi individu Muslim yang menginginkannya, sokongan doa, solat dan zikir boleh diberikan seiring dengan rawatan profesional, mengikut keperluan serta persetujuan individu. Kesukaran emosi tidak wajar dijadikan ukuran kelemahan iman.
5. Remaja, masyarakat dan media: temani tanpa menghakimi, lindungi privasi.
Manfaatkan program rakan sebaya untuk membimbing remaja mendengar dan mendapatkan bantuan orang dewasa apabila diperlukan, dengan batas tanggungjawab yang jelas. Pada masa yang sama, hentikan penyebaran gambar, mesej peribadi, ejekan dan dakwaan yang belum disahkan. Maruah keluarga mesti dipelihara dalam setiap perkongsian.
AGENDA akan terus memperjuangkan kesejahteraan wanita dan keluarga melalui pendekatan yang inklusif, berempati dan bertanggungjawab. Kejayaan usaha ini perlu dilihat pada bantuan yang benar-benar sampai serta sokongan susulan yang terlaksana.
Kita mungkin tidak mampu menghapuskan kesedihan seseorang, tetapi kita boleh memastikan mereka tidak menghadapinya sendirian.
Prof. Madya Dr Roohaida Othman
Pengerusi Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia (AGENDA)