BANGI, 2 November 2026 – Pertubuhan AGENDA Wanita Malaysia (AGENDA) telah mengadakan kunjungan hormat ke Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada Isnin, 2 November 2026, jam 2.30 petang.
Delegasi AGENDA terdiri daripada tiga orang kepimpinan utama pertubuhan, iaitu Prof. Dr. Roohaida Nordin, Pengerusi AGENDA; Prof. Melasutra Md. Dali, Timbalan Pengerusi AGENDA; dan Datin Dr. Amalina Abdullah, Bendahari AGENDA.

Kunjungan ini bertujuan memperkenalkan latar belakang, peranan serta aspirasi AGENDA sebagai sebuah pertubuhan yang memberikan tumpuan kepada pembangunan dan pemerkasaan wanita, khususnya dalam aspek kepimpinan.
Dalam pertemuan tersebut, pihak AGENDA turut berkongsi potensi kerjasama strategik bersama UKM Tun Fatimah Hashim, khususnya dalam bidang pembangunan kepimpinan wanita. Antara ruang kerjasama yang berpotensi diterokai termasuk perkongsian kepakaran, pembangunan kapasiti kepimpinan, penganjuran program ilmu serta inisiatif yang dapat memperluas peluang penglibatan wanita dalam kepimpinan di pelbagai peringkat.
AGENDA melihat hubungan kerjasama dengan institusi akademik seperti UKM sebagai satu peluang penting untuk menghubungkan kepakaran akademik dengan pengalaman serta pelaksanaan program di lapangan. Sinergi antara pertubuhan masyarakat sivil dan institusi pengajian tinggi berpotensi menghasilkan inisiatif yang lebih tersusun, berimpak dan mampan.
Diharapkan kunjungan ini menjadi langkah awal ke arah hubungan kerjasama yang lebih erat antara AGENDA dan UKM Tun Fatimah Hashim, seterusnya menyumbang kepada agenda pembangunan kepimpinan wanita serta memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan masyarakat dan negara.
Memperkasa Kepimpinan Wanita, Membina Masa Depan Masyarakat.
