SHAH ALAM, — Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia (AGENDA) bersama 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain menyuarakan bantahan terhadap pelantikan Sultan Ahmed bin Sulayem sebagai peneraju baharu MMC Port Holdings, susulan kebimbangan serius berkaitan aspek integriti, ketelusan serta keselamatan strategik negara.
Bantahan ini dizahirkan melalui satu surat terbuka yang ditandatangani oleh gabungan NGO termasuk BDS Malaysia, Sekretariat Solidariti Palestin, Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim SeMalaysia (KDMRS Muslim), Citizens International, CENTHRA Malaysia, Mahabbah Malaysia, MANDIRI, HALUAN serta beberapa organisasi lain yang aktif dalam isu kemanusiaan dan kepentingan nasional.
Menurut kenyataan bersama tersebut, pelantikan berkenaan menimbulkan persoalan berikutan laporan terdahulu yang mengaitkan Sultan Ahmed dengan kontroversi antarabangsa, termasuk dakwaan hubungan dengan individu yang disabitkan kesalahan jenayah seksual, Jeffrey Epstein.
Gabungan NGO turut menyatakan bahawa Sultan Ahmed sebelum ini dilaporkan meletakkan jawatan daripada syarikat logistik global, DP World, selepas pendedahan dokumen oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang didakwa mengandungi komunikasi berkaitan isu berkenaan.
Selain itu, NGO terbabit mempersoalkan ketelusan proses pelantikan tersebut yang disifatkan berlaku secara mengejut tanpa penjelasan rasmi, termasuk perubahan kepimpinan di peringkat tertinggi MMC Ports yang berlaku pada pertengahan Julai lalu.
Dalam masa yang sama, kebimbangan turut dibangkitkan terhadap implikasi geopolitik dan keselamatan negara, memandangkan MMC Ports mengendalikan tujuh terminal utama di sepanjang Selat Melaka — laluan strategik yang memainkan peranan penting dalam perdagangan global dan transit tenaga.
“Penyerahan kawalan ke atas infrastruktur kritikal negara kepada individu asing yang dibayangi kontroversi antarabangsa adalah sesuatu yang perlu dinilai secara teliti demi kepentingan jangka panjang negara,” menurut kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, AGENDA bersama gabungan NGO lain menggesa agar pelantikan tersebut dikaji semula secara menyeluruh dengan mengambil kira kepentingan nasional, ketelusan tadbir urus serta keyakinan rakyat terhadap institusi strategik negara.
Rujukan : https://www.sinarharian.com.my/article/788580/berita/nasional/31-ngo-bantah-pelantikan-sultan-ahmed-terajui-mmc-port-holdings
