PERKUKUH WACANA EKONOMI BERTERASKAN NILAI DAN KEMANUSIAAN

Kuala Lumpur, 22 & 23 Julai 2026 – Humane Economy Global Discourse 2026 (HEGD 2026) telah berlangsung dengan jayanya di World Trade Centre Kuala Lumpur, menghimpunkan pemimpin, pakar ekonomi, akademia serta penggerak masyarakat dari dalam dan luar negara bagi membincangkan hala tuju ekonomi yang lebih inklusif dan berteraskan nilai kemanusiaan.

Program ini dianjurkan oleh Forum Ekonomi Manusiawi (FEM) dengan tema “Reclaiming Humanity for Shared Prosperity”, yang menekankan kepentingan meletakkan manusia sebagai teras dalam pembangunan ekonomi.

AGENDA telah diwakili oleh Saidatul Syuhada, Setiausaha AGENDA dan Farah Ilani, ahli AGENDA, sebagai komitmen berterusan organisasi dalam memperkukuh jaringan strategik dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui pendekatan ekonomi manusiawi.

PERDANA MENTERI TEKANKAN EKONOMI BERPUSATKAN RAKYAT

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa Belanjawan 2027 akan digubal berasaskan prinsip keadilan, maruah insan dan kemakmuran bersama selaras dengan kerangka MADANI.

Beliau menyatakan bahawa kejayaan ekonomi tidak harus diukur semata-mata melalui pertumbuhan dan pelaburan, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan keupayaannya meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

“Ekonomi adalah alat, bukan matlamat. Ia mesti memastikan setiap rakyat dapat hidup dengan bermaruah, selamat dan penuh harapan,” ujar beliau.

Persidangan ini dipengerusikan oleh Saadiah Mohamad, Pengerusi FEM dan penulis buku “Membangun Ekonomi Manusiawi” (2021). Beliau menekankan bahawa ekonomi berasaskan nilai perlu bermula dengan penghormatan terhadap maruah manusia serta kesejahteraan komuniti secara inklusif.

SOROTAN SESI: KOMUNITI DAN IMPAK SOSIAL

Salah satu sesi utama, Session 3: Track 3 — Community & Social Impact Forum bertemakan “Building Trust, Strengthening Communities” telah menampilkan perkongsian berimpak tinggi:

  • Datin Paduka Mastura Mohamad (Pengarah, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor – PPAS)
    Menjelaskan transformasi perpustakaan awam sebagai pusat komuniti inklusif yang memberi impak besar kepada masyarakat, khususnya di kawasan perumahan rakyat (PPR).
  • Chan Soon Seng (CEO, Teach For Malaysia)
    Menegaskan bahawa akses kepada pendidikan berkualiti perlu dinikmati oleh semua pelajar tanpa mengira latar belakang sosioekonomi, sebagai asas kepada mobiliti sosial dan masa depan negara.

KOMITMEN AGENDA

Penyertaan AGENDA dalam HEGD 2026 mencerminkan komitmen berterusan organisasi dalam memperkukuh pembangunan komuniti, memperluas kerjasama strategik serta menyokong pendekatan ekonomi yang berteraskan nilai kemanusiaan.

AGENDA percaya bahawa masa depan ekonomi negara harus dibina atas asas keadilan sosial, kesejahteraan bersama dan pemerkasaan komuniti, selaras dengan aspirasi nasional dan global.

Maklumat lanjut mengenai HEGD di pautan : https://ekonomimanusiawi.org.my/programs/hegd-2026

Kongsi artikel ini:

Artikel berkaitan

(PPM-013-10-2012022)
Emel: setiausaha.agenda@gmail.com
© 2024 Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia. Hakcipta Terpelihara.
(PPM-013-10-2012022)
Emel: setiausaha.agenda@gmail.com
© 2024 Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia. Hakcipta Terpelihara.
Privacy Policy