Menyayangimu Seteguh Kasihmu
Ibu adalah seorang insan yang sangat dipandang mulia dalam Islam. Betapa besarnya pengorbanan dan beratnya beban yang telah dilalui oleh seorang ibu demi melahirkan seorang insan yang berguna untuk agama dan masyarakat serta dapat berbakti kepada orang tuanya kelak. Nama ibu disebut sebanyak tiga kali menandakan bahawa pentingnya seorang anak itu berbuat baik kepada ibunya.
Daripada Abu Hurairah r.a katanya: “Seorang sahabat datang kepada Rasulullah SAW dan berkata, “Ya Rasulullah, siapakah yang paling berhak mendapat perlakuan baik dari saya?”. Nabi SAW menjawab: “Ibumu!” Dan sahabat bertanya lagi: “Kemudian siapa lagi?” Nabi SAW menjawab: “Ibumu!”. Sahabat bertanya lagi: “Kemudian siapa lagi?”. Baginda menjawab: “Ibumu”. Sahabat bertanya lagi: “Kemudian siapa lagi?”. Nabi SAW menjawab: “Kemudian ayahmu”.
Ibu adalah guru pertama kepada anak-anak, kerana keberadaan mereka yang sentiasa bersama, mendidik dan membimbing anak-anak untuk mentauhidkan Allah. Ibu juga berperanan mengajar akhlak dan nilai hidup bersesuaian dengan fitrah dan naluri keibuaan yang penuh dengan sifat kasih sayang. Oleh itu dalam Islam, ibu memiliki kedudukan yang sangat dihormati dan berbakti kepada ibu adalah salah satu kewajiban penting bagi setiap Muslim.
Pengorbanan seorang ibu tiada galang gantinya. Sejak detik pertama kehidupan bermula di dalam rahim, seorang ibu telah menyerahkan seluruh jiwa dan raganya. Kesakitan melahirkan hanyalah permulaan kepada fasa perjuangan yang lebih besar. Masa tidur yang dikorbankan; keperluan kendiri diketepikan serta iringan doa yang tidak pernah putus. Walau sejauh mana anak melangkah, doa ibu sentiasa menjadi perisai paling ampuh buat insan bergelar anak.
Sebagai seorang anak, sering kali kita terlepas pandang untuk menghargai jasa ibu. Sekurang-kurangnya dengan memberi ucapan terima kasih kepada ibu setiap hari kerana ucapan itu akan:
Kasih ibu tidak mengharapkan balasan, namun bakti anak adalah jambatan menuju redha Ilahi. Bersempena dengan Hari Ibu, marilah kita muhasabah diri. Terus berusaha untuk menghargai pengorbanan ibu. Selain ucapan terima kasih, penghargaan terbaik adalah melalui tindakan yang mencerminkan rasa hormat dengan cara:
Terima kasih Ibu. Semurni kasihmu, kami belajar tentang kesabaran. Kerana pengorbananmu, kami mengenal erti ketabahan. Tiada apa yang mampu membalas jasa mu, melainkan doa agar syurga tertinggi menjadi milikmu. Kami menyayangimu seteguh kasihmu Ibu.
Serangkap puisi buat ibu:
Di wajahmu ada garis-garis perjuangan,
Di matamu ada ketulusan tanpa sempadan,
Kau tidak pernah mengeluh walau penat,
Kau tetap tersenyum walau kehilangan kudrat,
Kaulah permata yang paling berharga,
Hadirmu membawa rahmat yang nyata,
Selamat Hari Ibu buat insan terhebat,
Cintaku padamu tidak akan pernah tamat.
Doa kami sentiasa mengiringi:
“Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku, dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka menyayangiku semasa aku kecil.”
Nukilan,
Sumilah Marto
