Kuala Lumpur – Sempena sambutan Hari Wanita 2026, dengan tema ‘Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara’, Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia (AGENDA) menegaskan bahawa pembinaan sebuah Negara Rahmah menuntut perhatian serius terhadap satu dimensi yang sering terpinggir dalam wacana pembangunan wanita, iaitu kebermaknaan diri. Kebermaknaan diri merujuk kepada kesedaran bahawa wanita bukan sahaja hadir sebagai angka penyertaan atau penerima manfaat dasar, tetapi sebagai insan yang bernilai, didengar dan berperanan dalam pembentukan masyarakat dan negara.
Dalam landskap global yang sarat dengan persaingan ideologi, wanita sering ditafsir melalui lensa sempit sama ada sebagai tenaga produktif ekonomi, simbol moral bangsa, atau subjek agenda politik tertentu. Pendekatan sedemikian berisiko menghakis makna diri wanita dan menjadikan mereka alat kepada struktur kuasa, bukannya pemimpin yang berakar pada nilai dan kemanusiaan. AGENDA berpandangan bahawa pemerkasaan sebenar bermula apabila wanita mampu memaknai diri mereka sendiri secara sedar, beretika dan berlandaskan tanggung jawab sosial.
Konsep Negara Rahmah menuntut satu anjakan paradigma. Negara yang berteraskan rahmah tidak boleh dibina hanya melalui pertumbuhan ekonomi atau reformasi institusi, malah memerlukan manusia yang memimpin dengan empati, ihsan dan rasa tanggung jawab terhadap kesejahteraan bersama. Dalam kerangka ini, wanita yang memiliki kebermaknaan diri memainkan peranan penting sebagai pemimpin komuniti, pendamai sosial dan penghubung antara dasar negara dengan realiti kehidupan rakyat.
Sejajar dengan itu, AGENDA komited untuk terus menyediakan ruang dialog, pembangunan kapasiti dan advokasi dasar yang menempatkan wanita sebagai subjek keutamaan dalam pembangunan negara. Pendekatan AGENDA menolak ekstrem ideologi yang sama ada mengobjektifkan wanita atas nama kemajuan atau membataskan peranan mereka atas nama tradisi semata-mata. Sebaliknya, AGENDA mengangkat kepimpinan wanita yang seimbang, berakar pada nilai, peka terhadap konteks tempatan, dan selari dengan aspirasi Negara Rahmah.
Hari Wanita 2026 wajar diraikan sebagai titik muhasabah nasional. Ia bukan sekadar peringatan tentang hak dan peluang, tetapi seruan untuk membina ekosistem yang menyuburkan makna, maruah dan suara wanita. Negara Rahmah hanya dapat direalisasikan apabila wanita yakin bahawa kehadiran mereka membawa makna, dan negara bersedia mengiktiraf serta memanfaatkan makna tersebut demi kebaikan bersama.
AGENDA menyeru semua pihak sama ada pembuat dasar, institusi, masyarakat sivil dan komuniti untuk bersama-sama memperkukuh usaha membina kepimpinan wanita yang berasaskan kebermaknaan diri. Kerana wanita yang bermakna akan melahirkan masyarakat yang berempati, dan masyarakat yang berempati ialah asas kepada sebuah negara yang rahmah.
Dr. TPr. Melasutra Md Dali
Timbalan Pengerusi AGENDA 2025-2027
