KENYATAAN AKHBAR SEMPENA Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2025

Tamatkan Keganasan Digital Terhadap Semua Wanita Dan Kanak-Kanak Perempuan

Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita yang disambut pada 25 November setiap tahun juga menandakan permulaan Kempen UNiTE iaitu satu inisiatif aktivisme selama 16 hari untuk menamatkan keganasan berasaskan gender yang berakhir pada hari memperingati Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa pada 10 Disember. Kempen UNiTE iaitu singkatan kepada “United Nations initiative to End Violence against women and girls” (Inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Menamatkan Keganasan terhadap Wanita dan Kanak-kanak Perempuan) menyeru kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pertubuhan wanita, golongan muda, sektor swasta, media, dan sistem PBB untuk bergabung tenaga menangani wabak global keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan. Kempen UNiTE 2025 kali ini membawa perhatian masyarakat dunia kepada peningkatan yang membimbangkan mengenai keganasan digital terhadap wanita di bawah tema: “Tamatkan keganasan digital terhadap semua wanita dan kanak-kanak perempuan”.

Alat digital semakin digunakan untuk mengintai, mengganggu dan mendera wanita dan gadis. Ini termasuk buli siber, trolling dan ancaman dalam talian, gangguan dalam talian dan gangguan seksual, video atau audio yang dimanipulasi secara digital, salah maklumat di platform media sosial, menerbitkan maklumat peribadi dan menghendap dalam talian. Perbuatan ini bukan hanya berlaku dalam talian malah sering membawa kepada keganasan dalam kehidupan sebenar seperti paksaan, gangguan dan penderaan fizikal. Kemudaratan boleh berpanjangan dan menjejaskan mangsa dalam tempoh masa yang lama. Keganasan digital menyasarkan wanita lebih daripada lelaki, merentas semua lapisan masyarakat, tetapi terutamanya wanita yang mempunyai keterlihatan awam atau dalam talian – seperti aktivis, wartawan, wanita dalam politik, pembela hak asasi manusia dan wanita muda.

Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia (AGENDA) menyokong usaha-usaha kerajaan yang telah menggubal Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 bertujuan untuk mempromosi dan meningkatkan keselamatan dalam talian di Malaysia dengan mengawal selia kandungan berbahaya serta menyediakan tugas dan kewajipan ke atas penyedia perkhidmatan aplikasi, penyedia perkhidmatan aplikasi kandungan dan penyedia perkhidmatan rangkaian. Akta tersebut yang telah diluluskan di Parlimen pada 2024 telah diwartakan pada 22 Mei 2025.

AGENDA juga menyambut baik dan menyokong usaha Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang melancarkan Kempen Internet Selamat (KIS) pada tahun ini bertujuan untuk memperkukuh kesedaran serta keupayaan rakyat Malaysia terutamanya pelajar, terhadap ancaman digital dan etika penggunaan internet. Program berkenaan juga memberikan fokus kepada isu-isu seperti buli siber, penipuan dalam talian, perjudian digital dan kandungan penderaan seksual kanak-kanak yang menjadikan sekolah rendah dan menengah serta institusi pendidikan di seluruh negara sebagai sasaran utama bagi program Kempen Internet Selamat. Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, memaklumkan bahawa sehingga 23 November 2025, MCMC telah berjaya menganjurkan kempen berkenaan di 8,274 buah sekolah dan institusi pendidikan serta dijangka dapat dilaksanakan di setiap sekolah di seluruh negara menjelang suku pertama tahun depan.

AGENDA berpandangan bahawa sewajarnyalah kempen yang sangat baik ini boleh diperluaskan sasarannya meliputi golongan rentan seperti wanita yang turut menjadi mangsa keganasan digital. AGENDA juga percaya bahawa strategi yang dilakukan bagi menghapuskan keganasan digital terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan harus bersifat holistik dengan memastikan pemahaman dan kesedaran mengenai isu ini harus meliputi para ibu bapa dan ahli keluarga yang bertanggungjawab melindungi kanak-kanak perempuan dan wanita. Ahli keluarga dan masyarakat harus menyedari keseriusan masalah ini dan bersama-sama berganding bahu menangani isu ini.

Oleh itu, AGENDA mencadangkan agar:

  1. Program pendedahan dan pendidikan mengenai isu ini dilakukan bersesuaian dengan kelompok masyarakat termasuk program khusus yang direka khas untuk wanita, ibu bapa dan ahli keluarga melalui pelbagai pendekatan dan platform.
  2. Institusi agama dan kaum digunakan untuk menyebar luaskan kesedaran tentang isu ini kepada setiap lapisan masyarakat agar setiap ahli masyarakat memberi sokongan yang sepatutnya kepada mangsa.
  3. Perkhidmatan terhadap mangsa dengan meningkatkan usaha pemulihan psikologi kepada mangsa.
  4. Saluran pelaporan yang mesra pelanggan di samping memastikan perlindungan mangsa daripada tindakan balas.
  5. Naratif pencegahan dibina di setiap peringkat dengan kerjasama dan komitmen kolektif segenap pihak meliputi akar umbi sehingga ke pembuat dasar.

AGENDA meyakini bahawa kerjasama semua pihak dalam menangani isu keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak boleh membuahkan hasil untuk mencapai matlamat memastikan kesejahteraan kehidupan semua ahli masyarakat.   

Prof. Madya Dr. Roohaida Othman

Pengerusi
Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia

Kongsi artikel ini:

Artikel berkaitan

Penyertaan wakil AGENDA dalam Professional Certificate in Contemporary Leadership

Tahniah diucapkan kepada Saidatul Syuhada, Setiausaha AGENDA, atas kejayaan menamatkan Professional Certificate in Contemporary Leadership (PCCL) anjuran MyREF. Kejayaan ini…
Baca lagi

KENYATAAN AKHBAR SEMPENA Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2025

Tamatkan Keganasan Digital Terhadap Semua Wanita Dan Kanak-Kanak Perempuan Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita yang disambut pada 25 November…
Baca lagi

PEMBENTANGAN 6TH KANITA CONFERENCE

12 November 2025 | Universiti Sains Malaysia (USM)Pada Persidangan Antarabangsa Tahunan 6th KANITA International Conference on Gender Studies (KICGS), Agenda…
Baca lagi
(PPM-013-10-2012022)
Emel: setiausaha.agenda@gmail.com
© 2024 Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia. Hakcipta Terpelihara.
(PPM-013-10-2012022)
Emel: setiausaha.agenda@gmail.com
© 2024 Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia. Hakcipta Terpelihara.