KENYATAAN MEDIA PERTUBUHAN AGENDA WANITA MALAYSIA (AGENDA)
Selamat Bersara Kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat
Pertubuhan AGENDA Wanita Malaysia (AGENDA) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan selamat bersara kepada Yang Amat Arif Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat, Ketua Hakim Negara Ke-16, yang telah bersara secara rasmi pada 1 Julai 2025.
Sebagai wanita pertama yang menduduki tampuk tertinggi badan kehakiman negara, Tun telah melakar sejarah yang menjadi inspirasi kepada seluruh wanita di Malaysia bahkan seantero dunia. Kepimpinan Tun selama enam tahun bukan sahaja memperkukuh integriti dan keadilan institusi kehakiman, malah memberi sinar harapan kepada generasi baharu bahawa wanita juga mampu menggalas tanggungjawab besar dengan penuh wibawa, integriti, ketegasan dan kebijaksanaan.
Kami di AGENDA percaya, jejak langkah Tun bukan sekadar mencatat sejarah, tetapi membuka jalan untuk lebih ramai wanita melangkah ke hadapan dalam kepimpinan negara. Di saat institusi kehakiman berdepan pelbagai cabaran, Tun berdiri teguh sebagai benteng keadilan yang berprinsip, sekaligus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.
Pertubuhan AGENDA Malaysia mengucapkan terima kasih atas segala jasa, pengorbanan dan sumbangan Tun yang tidak ternilai sepanjang berkhidmat. Kami mendoakan semoga Tun terus dikurniakan kesihatan yang baik, usia yang diberkati, serta ketenangan dan makna dalam fasa baharu kehidupan. Kami yakin, Tun akan terus menjadi sumber inspirasi dan menyumbang dalam pelbagai kapasiti demi kemajuan negara dan martabat wanita Malaysia.
Selamat bersara Yang Amat Arif Tun.
Pengerusi AGENDA,
Prof Madya Dr. Roohaida bt Othman
4/7/2025