AGENDA Menyokong Usaha Membanteras Keganasan terhadap Wanita

KENYATAAN MEDIA
Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia (AGENDA)

AGENDA Menyokong Usaha Membanteras Keganasan terhadap Wanita

Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia (AGENDA) ingin menyatakan sokongan penuh terhadap langkah proaktif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui penganjuran program Larian Oren sempena Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2024 di Putrajaya pada 23 November 2024.

Dengan tema “UNiTE to End Violence against Women” atau “Bersama Untuk Tamatkan Keganasan Terhadap Wanita”, program ini berjaya mengangkat kesedaran masyarakat tentang isu keganasan terhadap wanita dan menggalakkan solidariti dalam usaha menanganinya.

Keganasan terhadap wanita, yang meliputi penderaan fizikal, seksual, dan psikologi, adalah isu kompleks yang memerlukan perhatian menyeluruh. Kami menyokong pandangan YB Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, bahawa peningkatan laporan kes keganasan terhadap wanita menunjukkan kesedaran lebih tinggi dalam kalangan mangsa untuk tampil ke hadapan mendapatkan bantuan.

Namun, bilangan kes yang semakin bertambah perlu diteliti dengan mendalam. Analisis data yang komprehensif diperlukan untuk memahami punca sebenar, termasuk pengaruh faktor seperti masalah sosial dan sikap pelaku. Di United Kingdom, misalnya, Majlis Ketua Polis Negara telah mengkategorikan keganasan terhadap wanita sebagai ancaman utama, manakala program intervensi di Australia dan UK telah membuktikan keberkesanan langkah mengenal pasti dan menangani corak tingkah laku berisiko tinggi dalam kalangan pelaku dan mangsa.

AGENDA menyeru agar pendekatan bersepadu dilaksanakan di Malaysia. Ini termasuk:

  1. Peningkatan Pendidikan Awal: Sistem pendidikan formal perlu menyemai nilai bahawa lelaki adalah pelindung keluarga dan masyarakat, serta mendidik untuk menolak keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak.
  2. Program Khusus untuk Lelaki: Kempen kesedaran dalam kalangan lelaki perlu diperluas dengan pendekatan khas melalui platform agama, sosial, dan media.
  3. Penggunaan Teknologi: Aplikasi teknologi seperti kecerdasan buatan dapat digunakan untuk mengenal pasti dan memantau individu berisiko tinggi, serta membantu dalam intervensi awal.
  4. Kerjasama Antara Sektor: Penyelarasan antara kementerian, NGO, sistem keadilan jenayah, agensi pendidikan, pakar kriminologi, dan institusi agama perlu diperkukuh untuk mewujudkan ekosistem sokongan yang kukuh.

Kami juga ingin menegaskan bahawa ramai mangsa yang terselamat tidak tampil membuat laporan. Oleh itu, AGENDA menyokong usaha berterusan KPWKM dalam melaksanakan pelbagai program, perkhidmatan, dan inisiatif yang melindungi hak dan kesejahteraan wanita.

Kerjasama semua pihak diperlukan untuk mewujudkan masyarakat yang bebas daripada keganasan. Dengan pendekatan sistem yang menyeluruh, AGENDA yakin kita mampu mencapai matlamat ini demi kesejahteraan semua.

Disokong bersama:

Prof. Madya Dr. Roohaida Othman
Pengerusi
Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia (AGENDA)

Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia
( Pautan kenyataan media berkaitan : https://ikram.org.my/bersama-tamatkan-keganasan-terhadap-wanita/ )

Puan Norhayati Mohd Yussoff
Pengerusi
Pertubuhan Teratak Rahmah Malaysia (TERATAI)

Puan Mahayati Ibrahim
Pengerusi
Pertubuhan Penulis Isu-Isu Nasional(PENAWAN)

Puan Rose Jazimah Abdul Jalil
Presiden
Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR)

Dr. Fatimah Ahmad Fauzi
Pengerusi
Malaysians Against Pornography (MAP)

Puan Noor Habibah Rosli
Pertubuhan Kanak-kanak Idaman Nasional (KIND)

Kongsi artikel ini:

Artikel berkaitan

agenda wanita

Memperkasa Wanita Merdeka: Dari Kemerdekaan Bangsa kepada Kebebasan Insan

Oleh Sumilah Marto dan Atriza Umar Pada tanggal 31 Ogos 2025, Malaysia menyambut ulang tahun ke-68 kemerdekaan. Tarikh itu bukan…
Baca lagi

World Women Economic and Business Summit (WWEBS) 2025

Transforming Tomorrow: Women Leading in a Digital, Sustainable, & Inclusive Future AGENDA dengan bangganya menyokong penganjuran Sidang Kemuncak Ekonomi dan…
Baca lagi

Selamat Bersara Kepada Ketua Hakim Negara

KENYATAAN MEDIA PERTUBUHAN AGENDA WANITA MALAYSIA (AGENDA) Selamat Bersara Kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat Pertubuhan AGENDA…
Baca lagi
(PPM-013-10-2012022)
Emel: setiausaha.agenda@gmail.com
© 2024 Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia. Hakcipta Terpelihara.
(PPM-013-10-2012022)
Emel: setiausaha.agenda@gmail.com
© 2024 Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia. Hakcipta Terpelihara.