SINDROM LUPA ANAK (FORGOTTEN BABY SYNDROME) – Mencegah Lebih Baik daripada Merawat

Sejak kebelakangan ini kita kerap membaca berita mengenai kanak-kanak yang meninggal dunia akibat tertinggal di dalam kenderaan. Sebagai contoh dalam satu kejadian baru-baru ini seorang bayi perempuan berusia 8 bulan meninggal dunia setelah hampir 10 jam ditinggalkan di dalam kenderaan di tempat parkir sebuah hospital di Cheras.

Antara faktor yang mungkin menjadi penyebab kepada sindrom lupa anak ini adalah kesibukan ibu bapa. Ibu bapa yang sentiasa sibuk dengan tugasan harian dan tidak dapat memberi tumpuan ke atas apa yang mereka patut lakukan boleh menyebabkan mereka terlupa kehadiran anak mereka di dalam kenderaan. Selain itu, rutin harian yang berubah juga boleh menjadi punca. Misalnya bapa mengambil alih tugas rutin ibu menghantar anak ke pusat asuhan. Fikiran yang kusut, tidak tenang, letih dan lesu juga boleh mempengaruhi ibu bapa menjadi mudah terlupa.

Para ibu bapa boleh mengambil langkah berikut bagi mengelakkan sindrom berkenaan:

  1. Sentiasa memeriksa ke dalam kenderaan. Mungkin sebelum ini jarang dilakukan namun perbuatan sentiasa memeriksa kenderaan sebelum menguncinya adalah tabiat yang baik dan perlu diamalkan.
  2. Elakkan menggunakan telefon ketika memandu. Menggunakan telefon semasa memandu boleh menyebabkan ibu bapa hilang fokus terhadap anak kerana akan leka dengan membalas mesej atau membaca status yang mencuri perhatian. Kesannya ibu bapa terlupa menghantar anak ke tempat pengasuh atau ke tempat yang sepatutnya.
  3. Ubahsuai kedudukan kerusi keselamatan anak. Jika sebelum ini kerusi keselamatan anak diletakkan pada bahagian belakang pemandu, ubah kedudukannya ke bahagian tengah bagi lebih memudahkan ibu bapa melihatnya.
  4. Letakkan beg atau permainan anak di tempat duduk sebelah pemandu. Tujuannya supaya ibu bapa sentiasa ingat bahawa ada anak mereka di belakang kenderaan.
  5. Letakkan barang-barang penting di belakang bersama anak. Misalnya kunci pejabat atau tag nama kerja. Dengan ini ibu bapa akan sentiasa peka dengan kewujudan anak di belakang.
  6. Letakkan tag/label di pemegang pintu pemandu bahagian luar bagi mengingatkan bahawa ada anak bersama di belakang kenderaan.
  7. Sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah, tadika, taska atau pengasuh untuk menghubungi ibu bapa jika anak tidak hadir ke salah satu dari premis berkenaan.
  8. Set peringatan (reminder) di dalam aplikasi telefon bimbit juga boleh dilakukan.
  9. Jika ibu atau bapa mengalami kemurungan atau kekusutan disebabkan kurang rehat akibat penat bekerja, berbincanglah dengan pasangan masing-masing. Ambil sedikit ruang masa berehat (healing) walaupun sekadar 15 minit untuk tidur sejenak (power nap).

Dalam apa juga keadaan, kita diajar supaya berusaha menghilangkan kemudaratan terutama apabila melibatkan nyawa manusia. Sebagaimana firman Allah SWT :

… وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَآ أَحْيَا ٱلنَّاسَ جَمِيعًۭا …

“… Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga
keselamatan hidup manusia semuanya…” (QS Al-Maidah 5:32)

Sindrom lupa anak ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Kita perlu berusaha mencegahnya sebelum terlambat. Mencegah itu lebih baik daripada merawat. Semoga apa yang dikongsikan ini dapat memberi sedikit manfaat kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil.

Susunan:
Hjh. Sumilah Binti Marto
27 Jan 2024

Kongsi artikel ini:

Artikel berkaitan

Wacana Kedinamikan Kepimpinan Wanita Malaysia

Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia (AGENDA), dengan kerjasama Jawatankuasa Wanita IKRAM Malaysia telah menganjurkan Wacana Kedinamikan Kepimpinan Wanita Malaysia. Program ini…
Baca lagi

Keberadaan Kepimpinan Wanita Dalam Pembangunan Semasa di Malaysia?

Pada Februari 2024, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri telah dilaporkan berkata bahawa penglibatan wanita sebagai…
Baca lagi
women discussion on women agenda

Persidangan Meja Bulat (RTD) Isu Kesihatan Mental

AGENDA telah terlibat dengan inisiatif Persidangan Meja Bulat (RTD) isu berkaitan kesihatan mental melibatkan beberapa agensi kerajaan dan badan-badan bukan…
Baca lagi
(PPM-013-10-2012022)
Emel: setiausaha.agenda@gmail.com
© 2024 Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia. Hakcipta Terpelihara.
(PPM-013-10-2012022)
Emel: setiausaha.agenda@gmail.com
© 2024 Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia. Hakcipta Terpelihara.